Wednesday, 11 February 2015

LENCANA SEKOLAH



Biru – melambangkan perpaduan murid SMTSZ yang berbilang bangsa bersatu padu serta berusaha dalam memajukan pembangunan sekolah berasaskan sains dan teknologi.

Kuning – mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan Falsafah Rukun Negara.

Merah – lambang keberanian dan bersedia menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan SMKTSZ sebagai sebuah sekolah yang berilmu, berwawasan dan cemerlang.

Hijau – melambangkan kesuburan fizikal, dan mental serta sekolah ini berada dalam Negeri Melaka Berteknologi Hijau

Putih – melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan murid yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
Bentuk gear dan geometri – melambangkan kepentingan sains dan teknologi dalam pendidikan seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Maju

Gelungan rantai – sukan sebagai aktiviti dalam melahirkan murid yang sihat, cergas dan cerdas
Bentuk logo sekolah seperti plak – bermaksud sekolah sentiasa ingin berjaya dan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.

Tun Syed Zahiruddin – nama Tuan Yang Terutama Melaka yang ke empat dan nama ini telah diambil sebagai nama sekolah bagi mengenang jasa beliau.

Motto Sekolah – Berilmu, Berwawasan, Cemerlang
 
Kesemua simbol yang terdapat dalam lencana di atas menggambarkan hasrat dan cita-cita murni SMKTSZ untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan cemerlang dalam semua bidang serta pelajar-pelajar yang mampu menghadapi cabaran dan mengisi wawasan diri, keluarga dan Negara.

VISI, MISI DAN MOTO


VISI 

PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA

 MISI


 MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNTUK MEMBANGUNKAN POTENSI INDIVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA 


MOTTO 

BERILMU, BERWAWASAN, CEMERLANG 

LATAR BELAKANG SMK TUN SYED ZAHIRUDDIN AYER TAWAR MERLIMAU, MELAKA.


SMK Tun Syed Zahiruddin merupakan sebuah sekolah menengah baru yang dibuka di Negeri Melaka pada tahun 2011. Ia terletak di Kg Ayer Tawar, Merlimau di dalam Daerah Jasin.
 
Penubuhan sekolah ini dibuat kerana kepadatan bilangan murid di sekolah-sekolah menengah berhampiran  seperti SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub dan  SMK Dang Anum.  Sekolah ini mula di bina pada tahun 2008 dengan kos pembinaan RM 28 juta dibawah RMK Ke 10 dan siap sepenuhnya pada 1 November 2010. Ia dibina di kawasan seluas 25 ekar dan luas kawasan untuk bangunan pendidikan dan kemudahan asas yang lain adalah 15 ekar.
 
Sekolah ini menawarkan pendidikan menengah daripada tingkatan 1 dan 5 dengan 30 buah bilik darjah. Selain itu ia mempunyai sebuah dewan tertutup, dewan terbuka, kemudahan padang permainan, kantin, bengkel kemahiran hidup, makmal sains, surau, pusat sumber, pusat ICT, bilik rawatan dan lain-lain kemudahan yang serba lengkap dan cukup.
 
SMK Tun Syed Zahiruddin  memulakan sesi persekolahannya yang pertama pada 3 Januari 2011 dengan jumlah murid seramai 330 orang ( 91% Melayu, 8% Cina dan 1% India ) dan guru seramai 25 orang ( 10 guru lelaki dan 15 guru perempuan ) serta 3 staf sokongan. Pengetua yang pertama adalah En Mat Johan bin Jahis.
 
Kelas yang dibuka adalah sebanyak 11 buah bilik darjah yang terdiri daripada Tingkatan 1 ( 4 buah kelas ), Tingkatan 2 ( 4 buah kelas ) dan Tingkatan 4 ( 3 buah kelas ). Bagi membezakan kelas, nama permata telah di gunakan iatu Berlian, Delima, Mutiara, Nilam, Permata dan Zamrud. Sekolah ini juga menawarkan kelas Sains Tulin kepada murid tingkatan 4.
 
Murid tingkatan 2 dan tingkatan 4 berasal dari SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub, SMK Dang Anum dan SMK Sg Rambai yang tinggal berdekatan dengan sekolah ini. Manakala murid tingkatan 1 daripada sekolah-sekolah kebangsaan  ( SK ) dan sekolah jenis kebangsaan Cina  ( SJKC ) yang berhampiran sekolah ini.
 
Pada asalnya sekolah ini dinamakan sebagai SMK Ayer Tawar sempena dengan kawasan ia didirikan. Nama ini telah ditukar kepada SMK Tun Syed Zahiruddin sebagai mengenang jasa Yang Di-Pertua Negeri Melaka yang ke 4 iaitu Tun Syed Zahiruddin b Syed Hassan.